Titik polemik kerajaan perpaduan atau campuran

Sudah banyak pihak membahaskan kerajaan yang ditunjangi oleh Pakatan Harapan (PH) sama ada ia kerajaan perpaduan atau campuran. Setelah dilihat beberapa kes negara luar dan apa yang berlaku pada zaman Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri dahulu, kerajaan yang dibentuk ini lebih menjurus kepada kerajaan campuran, bukan kerajaan perpaduan.

Berikut adalah tiga contoh situasi dalam dan luar negara yang menyokong kenyataan ini.

1. Pada 1 Januari 1973, nama parti Perikatan ditukar kepada Barisan Nasional (BN) yang juga disertai oleh parti pembangkang, iaitu PPP, SUPP, PAS dan GERAKAN. Parti di Sarawak dan Sabah yang baru bertanding kali pertama dalam PRU 1969 juga menyertai BN [1]. Ketika zaman Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri pada tahun 1974, satu kerajaan perpaduan ingin dibentuk untuk meredakan krisis kaum Melayu-Cina. Namun, hanya parti DAP sahaja yang memilih untuk berada di blok pembangkang.

Pada 22 November lepas, TS Muhiyddin Yassin telah mengeluarkan kenyataan bahawa YDPA meminta PH dan PN bersama-sama membentuk kerajaan perpaduan dan parti-parti lain akan menyertai selepas itu. Namun begitu, pada keesokannya (23 November), kenyataan daripada pejabat YDPA tidak ada menyebut satu pun frasa ‘kerajaan perpaduan’, tetapi baginda menggunakan frasa ‘menurut hemat Baginda mungkin mendapat peroleh majoriti …’ [5] bermaksud kerajaan ini dibentuk ‘kerajaan campuran’, bukan ‘kerajaan perpaduan’.

Ia bersandarkan faktor PN yang hanya mempunyai 74/222 kerusi parlimen dalam PRU15 memilih menjadi pembangkang setelah menolak cadangan YDPA untuk membentuk kerajaan. Ia berbeza dengan kerajaan tahun 1974 yang mana DAP yang hanya mempunyai 13 daripada 144 kerusi parlimen pada PRU tahun 1969 memilih untuk jadi pembangkang dan tidak menyertai pembentukan BN.

2. Kedua, satu contoh kes di Turki pada bulan Jun 2018, Parti Keadilan & Pembangunan (AK) yang mentadbir kerajaan dengan majoriti sebelum itu akhirnya terpaksa membentuk kerajaan ‘campuran’ dengan Parti Pergerakan Nasionalis susulan parti AK tidak mencapai sejumlah kerusi untuk membentuk majoriti mudah [2].    

3. Kes di United Kingdom pada bulan Jun 2017 pula menyaksikan Parti Konservatif tidak peroleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan sendirian dan membentuk kerajaan campuran dengan Parti Demokratik Bersatu (parti negara Ireland Utara) dan menandatangani Perjanjian Perbekalan dan Keyakinan (CSA) [3].

Maksud kerajaan perpaduan sebenar ialah kerajaan tanpa pembangkang atau hanya parti pembangkang kecil sahaja yang tidak menyertai atas faktor tidak ada parti memperoleh majoriti mudah. Kerajaan campuran pula ialah kerajaan dibentuk pelbagai parti yang berseteru tetapi parti pembangkang besar tidak menyertai kerajaan [4].

Dari sudut perlembagaan pula, menurut Profesor Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz, tidak dinyatakan di dalamnya jenis-jenis kerajaan yang dibentuk tetapi perlembagaan ada menyatakan bahawa mesti ada jemaah menteri. Manakala, seorang Perdana Menteri mesti dilantik atas perkenan YDPA [Perkara 40(2)(a)]. Jemaah menteri pula syaratnya mesti dilantik dalam kalangan ahli Dewan Rakyat atau Dewan [Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan].

Menurunya lagi, istilah kerajaan perpaduan atau campuran ini adalah istilah sains politik dan kerajaan yang dibentuk hari ini ialah kerajaan campuran. Hal ini kerana, kerajaan perpaduan mestilah terdiri daripada parti yang mempunyai undi yang tertinggi (dalam konteks ini PH dan PN) kerana ia menyatukan parti yang peroleh kerusi paling banyak. Tetapi kerajaan sekarang dibentuk oleh satu gabungan dengan kerusi paling banyak diikuti gabungan dengan kerusi dalam bilangan yang kecil. Jadi dalam konteks ini ia tidak dikira sebagai kerajaan perpaduan.

Justeru, naratif PH mengatakan ia kerajaan perpaduan kurang tepat kerana istilah kerajaan perpaduan jika diguna pakai sekalipun sebagaimana ketika ini maka merujuk kepada makna majazi (lafaz yang tidak dimaksudkan makna asal kerana ada perluasan makna lain) bukan makna haqiqi (makna asal) seperti yang dinyatakan Dr. Ridzwan Ahmad, Pensyarah di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Kenyataan Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pemuda UMNO pada 27 November lepas. yang berada dalam kem Zahid yang menyokong kuat PH juga mengatakan hal yang sama dengan mengistilahkannya sebagai ‘Grand Coalition’ atau Kerajaan Permuafakatan Besar Parti-Parti.

Tidak kisah mana-mana istilah nama kerajaan diberi sekalipun kerana kedua-dua istilah ini tiada dalam perlembagaan, malahan naratif kerajaan perpaduan yang dimainkan PH masih boleh diterima walaupun kurang tepat. Naratif kerajaan perpaduan yang dikehendaki YDPA tidak ada salahnya disebut kerana ia merupakan naratif dan propaganda untuk meyakinkan rakyat Malaysia supaya kekal dalam semangat perpaduan.

Senarai rujukan:
[1] Mokhtar Muhammad 2020. Dasar Tun Abdul Razak, Dato’ Hussein Onn dan Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad dari 1970-1990: Kesinambungan dan Perubahan. Tesis Universiti Malaya.

[2] https://carnegieendowment.org/2022/11/14/political-change-and-turkey-s-foreign-policy-pub-88387

[3] https://www.telegraph.co.uk/politics/0/tory-dup-deal-agreement-full/

[4] https://malaysiagazette.com/2022/11/26/naratif-kerajaan-perpaduan-dan-kerajaan-campuran-di-malaysia/

[5] Teks Kenyataan Pejabat YDPA mengenai perlantikan Anwar Ibrahim, 23 November 2022

[6] https://www.facebook.com/drasyrafwajdidusuki/posts/pfbid02vxhZZGhfzj1Wqw12L8

Total
0
Shares
Leave a Reply
Previous Post

Jerat DAP untuk orang Melayu

Next Post

[IKLAN] JAWATAN KOSONG: VIDEO EDITOR

Related Posts