3 rumah ada kaitan Isa Samad diserbu

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu tiga rumah yang ada kaitan dengan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad, malam semalam dan hari ini, serta mengesan sebuah lagi.

Selain menyerbu rumah beliau di Lavender Heights, Senawang, malam semalam, agensi rasuah itu juga dikatakan menggeledah dua rumah lain, masing-masing di Nilai Springs, Bandar Baru Nilai dan Linggi, Negeri Sembilan, hari ini.

Penyiasat SPRM dikatakan mengesan sebuah lagi rumah yang ada kaitan dengan Isa, juga di Nilai.

Serbuan itu susulan penahanan Isa, petang semalam, untuk membantu siasatan berhubung pembelian hotel oleh FELDA Investment Corporation (FIC) di Kensington, London, di antara 2014 dan 2015.

Menurut sumber, pegawai SPRM turut merampas beberapa dokumen di premis berkenaan.

Difahamkan, SPRM akan menyerbu pejabat beliau di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), di sini, esok.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki, berkata sehingga kini pihaknya sudah merakam keterangan lebih 40 orang, termasuk ahli keluarga Isa bagi melengkapkan siasatan.

Bagaimanapun, Azam enggan dedahkan hasil serbuan yang dilakukan di kediaman Isa, malam semalam.

“Setakat ini, proses siasatan terhadap Isa masih berjalan dan perlu menunggu laporan penuh. Kita belum tentukan sama ada perlu membekukan semua aset Isa. Ia bergantung kepada keterangan yang diperoleh.

“Sebaik mendapat laporan penuh daripada pegawai penyiasat, kita akan memutuskan perkara itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah barisan EXCO Kerajaan Kelantan, hari ini.

Majlis itu disaksikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad.

Bulan lalu, Dzulkifli mengarahkan pasukan penyiasat membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel 4 bintang itu di Kensington, London oleh FIC selepas menerima maklumat baharu berhubung pembelian berkenaan.

FIC dipercayai membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.

Baru-baru ini, BH melaporkan, sebuah syarikat Malaysia yang mengendalikan urusan jual beli hotel itu memperoleh keuntungan RM78 juta dalam masa 24 jam dalam urusan terbabit.

Isa selaku Pengerusi FELDA sebelum ini, dilaporkan berkata, pembelian Grand Plaza Kensington itu sebahagian daripada langkah strategik FIC untuk mempelbagaikan aset dan memastikan ia dapat memaksimumkan pulangan pelaburan syarikat.

Total
985
Shares
Previous Post

Penderhakaan kepada rakyat jika UEC diiktiraf

Next Post

Ikon Permotoran Pilihan WAF Tiada Lesen Kereta

Related Posts